Safiq Rahim Berjaya Merangkul Semua Kejuaraan Dalam Karier Bolasepaknya. Pemain Tempatan Paling Berjaya Dekad Ini.

Dengan kejayaan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) merangkul gelaran juara Piala Malaysia 2017 selepas menewaskan Kedah semalam, secara rasminya kapten skuad Harimau Malaya iaitu Safiq Rahim mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mengecapi semua kejuaraan utama bola sepak tempatan dan juga di peringkat antarabangsa.

Pemain tengah kelahiran Kuala Selangor itu memulakan kerjaya bolasepak remajanya ketika menuntut di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) pada tahun 2003 hingga 2007. Antara kejayaan yang dikecapi dalam karier bola sepaknya ialah :

Juara Piala Presiden 2008

Safiq memulakan karier sebagai pemain untuk pasukan selangor dalam kejohanan Piala Presiden 2007, di mana ketika itu beliau membantu Selangor muncul juara menewaskan Perak di perlawanan akhir dengan keputusan 1-0 hasil daripada jaringannya.

Beliau kemudiannya dipilih mewakili pasukan bawah 20 tahun Malaysia ke Piala Belia Asia 2006. Dia juga mewakili Malaysia ke Sukan Asia 2006 di Doha.

Safiq membuat penampilan sulung bersama pasukan utama pada Kejohanan Bola Sepak ASEAN 2007 ketika menentang Myanmar. Selepas itu, dia hanya bermain untuk pasukan bawah 23 tahun.

Juara Piala Sumbangsih 2009, 2010, 2015 & 2016

Safiq diserap masuk ke skuad senior selangor untuk bersaing dalam liga super pada tahun 2007 . Namun kegagalannya mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama untuk skuad senior selangor yang ketika itu dibimbing bekas penyerang kebangsaan, Dollah Salleh sehingga memaksanya mencari haluan baru bersama pasukan berstatus kelab, KL PLUS.

Setelah hampir semusim bersama skuad KL PLUS , Safiq kembali semula ke pangkuan skuad selangor yang dibimbing oleh K.Devan yang mengambil alih jawatan Ketua jurulatih daripada Dollah Salleh pada tahun 2009. Safiq berjaya membantu selangor menjulang Piala Sumbangsih pada tahun 2009 dan 2010.

Beliau juga membantu JDT menjuarai Piala Sumbangsih pada tahun 2015 dan 2016 sebagai kapten setelah memutuskan untuk berhijrah ke pasukan Johor (Sekarang dikenali sebagai JDT) pada bulan November 2012. Secara keseluruhannya Safiq menjaringkan 19 gol dalam 71 penampilan bersama selangor selama empat musim.

Juara Liga Super 2010, 2014, 2015, 2016 & 2017

Pada musim 2010, Safiq merupakan sebahagian daripada skuad selangor yang berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super yang dimenangi oleh mereka pada musim 2009.

Pada musim 2014, beliau cemerlang membantu JDT muncul sebagai juara Liga Super buat kali pertama dalam sejarah penubuhannya. JDT juga mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul kejuaraan Liga Super selama 4 musim berturut-turut sehingga menjadi antara kelab yang paling berjaya di Asia Tenggara.

Liga Super

Secara tidak langsung, Safiq mencipta sejarah dalam karier bola sepaknya sebagai salah seorang pemain tempatan yang paling banyak menjulang kejuaraan Liga Super sebanyak 5 kali.

Juara Piala FA 2009 & 2016

Ketika bersama Selangor, beliau sempat membantu pasukannya meraih gelaran juara Piala FA pada tahun 2009. Pada musim 2016, beliau membantu JDT mencipta satu lagi sejarah dengan menjulang Piala FA buat kali pertama selepas menewaskan PKNS FC 2-1 di perlawanan akhir.

Juara Piala Malaysia 2017

Piala Malaysia merupakan satu-satunya piala yang gagal dimenangi olehnya sejak bersama Selangor pada tahun 2009. Selepas 5 musim bersama JDT, Safiq akhirnya berjaya menjulang kejuaraan Piala Malaysia  buat kali pertama dalam karier bolasepak selepas membantu pasukannya menewaskan juara bertahan, Kedah di Stadium Shah Alam.

Pada usia 30 tahun, kejuaraan ini melengkapkan semua kejuaraan utama bola sepak tempatan yang dimenangi olehnya.

Juara Piala AFC 2015

Rentak cemerlang Safiq Rahim diteruskan apabila beliau membantu JDT mencipta satu lagi sejarah baharu dalam bola sepak Malaysia apabila menjadi pasukan yang pertama di Malaysia dan juga di Asia Tenggara yang memenangi Piala AFC pada tahun 2015.

Beliau juga dinobatkan sebagai pemain paling berharga (MVP) dalam kejohanan Piala AFC 2015. Kejayaan ini pasti dicemburui oleh pemain tempatan yang lain kerana Safiq merupakan satu-satunya pemain dari Malaysia dan Asia Tenggara yang memenanginya.

Juara Sukan SEA 2009

Safiq mula mewakili malaysia bawah 23 tahun ke Sukan Sea 2007. Ketika itu Malaysia tidak berjaya mara ke peringkat separuh akhir setelah terkandas di peringkat kumpulan. Keajaiban mula berlaku apabila penantian 20 tahun pingat emas Sukan Sea berakhir.

Beliau merupakan sebahagian daripada skuad kendalian Datuk K.Rajagopal yang berjaya menggapai ibu segala pingat emas selepas menundukkan Vietnam dengan keputusan 1-0 di Sukan Sea Vientiane pada tahun 2009. Ini merupakan kejuaraan antarabangsa pertamanya.

Juara Piala AFF Suzuki 2010

Pada tahun 2010, sejarah baharu bola sepak negara tercipta apabila Datuk K.Rajagopal membawa Malaysia muncul sebagai juara Piala AFF Suzuki selepas mengalahkan musuh tradisi, Indonesia. Safiq Rahim antara pemain daripada skuad Malaysia yang membantu meraih kejuaraan pertama Malaysia dalam sejarah 14 tahun kejohanan berkenaan.

Dalam sejarah penglibatan Safiq Rahim di kejohanan Piala AFF Suzuki, beliau pernah menjaringkan gol menerusi sepakan percuma ketika menewaskan Laos 4-1 dalam Piala AFF Suzuki 2012. Pada edisi AFF Suzuki 2014, Safiq meledak gol sulungnya ketika tewas 2-3 kepada Thailand.

Selain itu, Safiq juga pernah menjaringkan satu gol ketika menewaskan Singapura 3-1 untuk membawa Malaysia ke mara separuh akhir. Safiq sekali lagi membantu Malaysia ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2014 dengan menjaringkan dua gol ketika menewaskan Vietnam dengan agregat 5-4.

Beliau juga meledak 2 gol ketika tewas ditangan Thailand secara agregat 4-2 di perlawanan akhir. Safiq meraih gelaran naib juara Piala Suzuki 2014 dan turut dianugerahkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan sebanyak 6 gol.

Pencapaian individu

Dari segi pencapaian dalam skuad kebangsaan, beliau telah menjaringkan 16 gol di peringkat antarabangsa dalam 72 penampilan bersama skuad kebangsaan. Berikut ialah pencapaian individunya :

  • Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011 : Pemain Tengah Terbaik (Selangor FA)
  • Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2012 : Pemain Tengah Terbaik (Selangor FA)
  • Piala AFF Suzuki 2012 : 11 Pemain Terbaik Piala AFF Suzuki (Malaysia)
  • Piala AFF Suzuki 2014 : Penjaring Terbanyak Kejohanan Piala AFF Suzuki (Malaysia)
  • Piala Malaysia 2014 : Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Piala Malaysia (JDT)
  • Piala AFC 2015 : Pemain Paling Bernilai Piala AFC (JDT)
  • Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2015 : Pemain Tengah Terbaik & Pemain Paling Bernilai (JDT)
  • Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016 : Pemain Tengah Terbaik (JDT)

Sumber : Semuanya Bola

admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *