Remaja perempuan Tingkatan 5 antara dicekup JAINJ

PASIR GUDANG: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan dua pasangan kekasih termasuk seorang remaja perempuan Tingkatan Lima kerana disyaki berkhalwat dalam bilik hotel murah di Taman Masai, dekat sini, awal pagi tadi.

Dua pasangan itu ditahan dalam operasi yang dijalankan bersempena malam ambang merdeka yang diadakan di dua hotel bajet di Taman Masai, di sini.

Hasil serbuan anggota penguatkuasa berjaya menahan dua pasangan itu yang mendakwa baru sahaja mendaftar masuk ke bilik berkenaan selepas menghadiri sambutan ambang merdeka di Bukit Layang-layang, semalam.

Pasangan muda pertama iaitu remaja lelaki berusia 18 tahun dan perempuan tingkatan lima ditahan pada jam 1.42 pagi dalam bilik hotel di Jalan Bunga Raya, Taman Masai, disusuli penahanan pasangan kedua di hotel berasingan tidak jauh dari lokasi serbuan pertama.

Dua pasangan itu kemudian ditahan mengikut Seksyen 27(1) a dan b Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana berkhalwat yang membawa hukuman denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mereka dibawa ke Balai Polis Masai untuk membuat laporan polis sebelum dibawa pulang ke pejabat Bahagian Penguatkuasa JAINJ untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, 11 anggota penguatkuasa JAINJ menjalankan pemantauan di sekitar tasik berhampiran Bukit Layang-layang sejurus tamat sambutan ambang merdeka kira-kira 12 tengah malam dan mengeluarkan tujuh notis arahan hadir ke atas tujuh pasangan.

Mereka diberikan notis itu mengikut Seksyen 29 enakmen yang sama selepas didapati berkelakuan tidak bermoral di khalayak umum.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAINJ, Mohd Hafiz Abdul Rahman, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan yang dibuat.

Sumber : Berita Harian

admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *