Pelajar IPTA antara 6 pasangan dicekup JAIM

MELAKA: Enam pasangan kekasih termasuk lima pelajar dari pelbagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dicekup berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam operasi khas sempena cuti umum sambutan tahun baharu, awal pagi tadi.

Semua pasangan berusia 20 hingga 42 tahun itu ditahan dalam tempoh kira-kira empat jam bermula jam 12.30 tengah malam tadi di 10 hotel bajet yang diperiksa di empat lokasi berasingan sekitar Melaka Tengah iaitu Kota Laksamana, Taman Kota Syahbandar, Jalan Munshi Abdullah dan Ujong Pasir.

Operasi diketuai Ketua Pegawai Penguatkuasa JAIM, Rahimin Bani itu membabitkan kira-kira 10 anggota penguat kuasa jabatan dengan menyasarkan hotel murah yang menjadi tumpuan terutama pasangan anak muda untuk memadu kasih.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi di lokasi terakhir di Ujong Pasir, seorang lelaki cuba melarikan diri ketika anggota penguat kuasa mengetuk pintu bilik hotel dan memperkenalkan diri bagi memeriksa sebarang perlakuan maksiat.

Bagaimanapun, tindakan pantas anggota penguat kuasa berjaya menahan lelaki berusia awal 20-an yang disyaki berkhalwat itu, namun beliau enggan menunjukkan kad pengenalan diri, selain cuba menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Lelaki terbabit juga membuat kekecohan dan enggan mengikut arahan penguat kuasa supaya menaiki van jabatan bersama pasangan lain, tetapi akhirnya mengalah selepas ditegur seorang lagi lelaki yang turut ditahan dalam serbuan di lokasi sama.

Sementara itu, Rahimin berkata, semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

“Hasil pemeriksaan, kita dapati ramai daripada pasangan itu masih belajar di IPTA dan ini membimbangkan kerana waktu belajar atau mengulang kaji ini digunakan mereka untuk berada di hotel bagi melakukan kemungkaran dan maksiat.

“JAIM akan terus membuat pencegahan bagi mengelak ia menjadi kes Seksyen 54 enakmen sama iaitu hamil luar nikah,” katanya ketika ditemui malam tadi.

Sumber : Berita Harian

admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *