Keon tiada kuasa halang rakan berhijrah

KUALA LUMPUR: Kapten Kedah, Khairul Helmi Johari menegaskan dia tiada kuasa untuk menghalang mana-mana pemain meninggalkan skuad Helang Merah.

Khairul yang lebih mesra dengan panggilan Keon menjelaskan, hanya pihak pengurusan yang lebih berhak untuk menentukan perancangan masa depan pasukan.

“Apapun, kalau ada rezeki masih bersama lagi tahun depan, kami mungkin boleh bekerja lebih keras berbanding tahun ini untuk mencipta lebih banyak kejayaan,” kata Keon.

Pelbagai spekulasi membabitkan beberapa tonggak Kedah timbul termasuk penyerang, Syafiq Ahmad yang dikatakan akan berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT).

Mengulas mengenai kegagalan pasukannya mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia musim ini selepas tewas kepada JDT 2-0 Sabtu lalu, Keon mengakui kecewa selepas kerja keras yang dilakukan pasukan untuk sampai ke final.

“Kami bekerja keras sebagai satu pasukan dan bukan mudah untuk sampai ke final musim ini, tapi kami berjaya juga lakukannya, cuma tidak dapat pertahankan Piala Malaysia.

“Sudah pasti kami kecewa kerana impian utama untuk mengekalkan kejuaraan. Apapun, saya tetap berpuas hati dengan komitmen rakan sepasukan.

“Saya harap tahun depan kami akan tampil dengan lebih baik dan cuba membawa kembali Piala Malaysia ke Kedah,” katanya.

Impian kedah untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi musim lalu dimusnahkan dengan jaringan Aidil Zafuan Abd Radzak dan Gabriel Cabrera, sekali gus melengkapkan trofi saingan tempatan buat Harimau Selatan.

Sumber : Berita Harian

admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *