Dirogol bapa tiri sejak usia 9 tahun, ibu minta netizen viralkan gambar suaminya sehingga lelaki itu ditangkap

MARAN, PAHANG – Viral di media sosial seorang wanita meminta netizen di media sosial membantu menangkap suaminya yang didakwa telah mencabul dan merogol anak perempuannya berusia 9 tahun.
“Tanpa rasa malu, saya mohon sahabat di Facebook tolong viralkan sampai si pelaku atau suami saya ini kena tangkap. Sudah ada dua waran tangkap. Kes pukul dan kes cabul anak perempuan saya bawah umur,” tulis Hanifah Wan di Facebook, jam 11.07 pagi, 22 Ogos lalu.
Hanifah berkata, kes itu sudah lama berlaku. Namun dia hanya mengetahui kejadian yang menimpa anaknya itu selepas dimaklumkan oleh guru besar sekolah anaknya.
“Sebenarnya kes ini sudah lama. Saya dapat tahu pun dah lambat. Anak saya dah tak tahan diugut dengan ayah tiri dan dia mengadu pada guru sekolah yang rapat dengannya.
“Saya dipanggil oleh guru besar dan beliau telah menceritakan satu persatu perbuatan suami yang merogol anak tirinya sejak dari mangsa berusia 9 tahun.
“Keesokannya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Pelindung Kanak-Kanak mengambil anak saya di rumah dan dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dengan pakar dan memang ada koyakan (di bahagian kemaluan).
“Suami saya bila dapat tahu, dia terus melarikan diri ke Melaka,” katanya ketika dihubungi The Reporter.
Susulan kejadian itu, Hanifah telah membuat laporan polis pada tahun 2016 dan waran tangkap juga telah dikeluarkan oleh mahkamah. Tetapi sehingga ke hari ini, lelaki itu masih belum ditangkap.
Kini, Hanifah merancang mahu memanjangkan kes itu ke Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bagi menggesa pihak polis mengesan dan menangkap lelaki terbabit yang masih bebas dan dipercayai masih berada di sekitar kawasan negeri Melaka.
Hanifah juga meminta orang ramai membantunya mencari lelaki terbabit dan mana-mana individu yang berjaya menangkap lelaki itu akan diberikan ganjaran yang lumayan.
“Minta tolong jika ada ternampak suspek ini, laporkan pada balai polis berdekatan. Saya akan bagi ganjaran pada sesiapa yang beri maklumat sehingga dia ditangkap polis,” katanya.
Sumber : The Reporter
admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *